MRSM Terendak catat PGM cemerlang
PMR
Oleh
Rosniza Mohd Taha
19 Maktab Rendah Sains Mara
peroleh kelulusan 100 peratus
SERAMAI 1,678 daripada 2,732 calon Penilaian
Menengah Rendah (PMR) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tahun ini mendapat
keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran diambil, meningkat
berbanding 1,594 pelajar memperoleh pencapaian sama tahun lalu.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin (gambar), berkata 11 daripada 19
MRSM seluruh negara, semua pelajarnya mendapat A semua mata pelajaran
diambil, juga meningkat berbanding lapan pada tahun lalu.
Katanya, MRSM
terbabit ialah Terendak,
PDRM Kulim, Lenggong, Kuala Lipis, Transkrian, Kuala Klawang, Pontian,
Pasir Salak, Pasir Tumboh, Besut dan Batu Pahat, .
“Semua 19 MRSM mencatat kelulusan 100 peratus. Mara amat berbangga dengan
pencapaian keseluruhan tahun ini kerana ia lebih baik berbanding tahun
lalu.
“Kecemerlangan tahun ini juga menjadi bukti kemantapan sistem pendidikan
MRSM dan kejituan usaha semua pihak dalam Mara bagi memastikan kemajuan
bidang pendidikan negara,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.
Dari segi pencapaian
Gred Purata Maktab (GPM), Nam berkata,
MRSM Terendak mengekalkan pencapaian terbaik
iaitu 1.0424, diikuti MRSM PDRM Kulim
(1.0548) dan MRSM Transkrian (1.0581).
Katanya, GPM keseluruhan MRSM tahun ini menurun sebanyak 0.0173 kepada
1.0899 berbanding 1.1071 tahun lalu dan ia adalah petunjuk bahawa pencapaian
keseluruhannya lebih baik.
“Lebih membanggakan, sebanyak 15 MRSM mencatatkan peningkatan nilai GPM
tahun ini berbanding sembilan pada tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan lapan subjek mencatatkan peningkatan
peratus pencapaian gred A, iaitu Bahasa Melayu 3.7 peratus, Matematik (1.8
peratus), Sejarah (3.3 peratus), Geografi (3.2 peratus), Pendidikan Islam
(4.4 peratus), Kemahiran Hidup (0.4 peratus), Bahasa Arab (26.1 peratus)
serta Bahasa Cina (38.5 peratus).
Katanya, beberapa MRSM juga
mencatat pencapaian 100 peratus gred A dalam lapan subjek, iaitu Bahasa
Melayu (MRSM Pasir Salak, Mersing, Terendak dan Lenggong), Matematik (MRSM
Gerik, Kuala Lipis, PDRM Kulim dan Kuala Krai).
Seterusnya Pendidikan Agama Islam (MRSM Gerik, Pontian, Transkrian dan
Lenggong), Kemahiran Hidup 1 (MRSM Lenggong, Gerik, Transkrian, Kuala Lipis,
PDRM Kulim, Pasir Salak, Kuala Klawang, Besut, Kota Kinabalu, Pendang dan
Terendak).
Kemahiran Hidup 4 (MRSM Pontian), Bahasa Arab (MRSM Batu Pahat), Bahasa Cina
(MRSM Kuala Lipis, Batu Pahat, PDRM Kulim dan Pendang) serta Bahasa Tamil (MRSM
Kuala Klawang).
Berita Harian, Sabtu, 29 Disember 2007 (19
Zulhijah 1428)