Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditubuhkan di bawah akta Majlis Amanah Rakyat bil.20 tahun 1966 bertujuan memberi kemudahan pelajaran di peringkat menegah dan pra universiti dalam bidang sains dan teknologi kepada pelajar-pelajar Bumiputera yang mempunyai kebolehan mental tinggi.

Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara(MRSM)yang pertama telah dimulakan di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 1971. Kemudian ia dibina pula di Kota Bharu pada tahun 1973 dan diikuti dengan penubuhan MRSM Kuantan pada tahun 1974. Kini Maktab Rendah Sains MARA diseluruh Malaysia berjumlah 36 buah. Empat daripadanya adalah Kolej MARA iaitu Kolej MARA Banting, Kolej MARA Seremban, Kolej MARA Kulim dan Kolej MARA Kuala Nerang yang menmpatkan pelajar-pelajar lepasan SPM yang mengikuti program Matrikulasi, A Level serta International Baccaulaurette.
Sejarah Maktab Rendah Sains MARA Kuching bermula pada awal tahun 90an bilamana pihak kerajaan Negeri Sarawak akhirnya bersetuju menyediakan sejumlah kawasan tanah untuk pembinaan MRSM pertama di Malaysia Timur. Pada September 1993 prasarana asas sebuah sekolah telah siap dibina dan telah diserahkan kepada pihak MARA pada Disember 1993 serta bersedia untuk menempatkan pelajar pada tahun berikutnya. Maktab Rendah Sains MARA Kuching dinamakan sedemikian kerana ia terletak di Petrajaya dalam kawasan bandaraya Kuching. Maktab ini terletak berhadapan dengan kampus CIDB cawangan Sarawak , bersebelahan dengan Institut Kemahiran MARA (IKM). Yang Lebih menakjubkan MRSM Kuching berlatarbelakangkan gunung lagenda Negeri Sarawak iaitu gunung Santubong.

Kumpulan pertama pengajar sampai pada penghujung 1993 dan kedatangan mereka adalah secara berperingkat-peringkat kerana masalah jarak yang terlalu jauh serta urusan-urusan lain yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Pada sesi pertama MRSM Kuching beroperasi (93/94). Ia mempunyai seramai 16 orang pengajar termasuk seorang Pengetua.
Manakala pengambilan dan penempatan pelajar hanya bermula pada semester kedua sesi pertama (93/94) iaitu dengan pengambilan seramai 106 orang pelajar tingkatan satu. jumlah ini tidak memenuhi kuota yang sepatutnya iaitu seramai 150 orang kerana penawaran yang lewat serta masalah prosedur antara Bahagian Pelajaran Menengah, Ibu Pejabat MARA dan Kementerian Pendidikan. Walaupun berlangsung lewat dan dengan jumlah pelajar yang tidak memenuhi kuota tetapi sesi pertama ini telah berjalan lancar.