|
Sejarah Penubuhan Maktab Rendah Sains MARA Kuala Klawang ditubuhkan pada 20 April 1987, yang dikenali sebagai MRSM Jelebu. Kampus ini mula beroperasi di bangunan sementara berhampiran dengan Balai Undang di pekan Kuala Klawang, berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu. Maktab ini mula beroperasi pada 14 April 1987 apabila kumpulan pertama staf mula melaporkan diri. Pengambilan pelajar seramai 129 orang dibuat pada 6 Jun 1987. Pengetua pertama ialah Encik Bahari bin Ab Wahab. Bilangan staf pada waktu itu adalah 26 orang staf pentadbiran dan 12 orang staf akademik. Selepas beroperasi selama kurang lebih tiga tahun, usaha untuk menubuhkan kampus tetap telah dilakukan. Hasilnya, pada 12 Febuari 1990 majlis pecah tanah kampus tetap telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Encik Ghafar Baba di Ladang Jelebu, Mukim Gelami Lemi, Jalan Titi, Jelebu. Penubuhannya berkonsepkan mini MRSM. Kampus baru ini terdiri daripada 5 blok iaitu blok pentadbiran, bilik darjah dan makmal sains, blok asrama puteri, blok asrama putera, blok dewan selera dan surau. Tanggal 2 Ogos 1993, MRSM Jelebu telah berpindah sepenuhnya kekampus tetapnya di MRSM Kuala Klawang. Dengan perpindahan ini, MRSM Jelebu telah ditukar namanya kepada MRSM Kuala Klawang. Konsep awal penubuhannya masih lagi kekal di mana pengambilan pelajar masih tertumpu kepada pengambilan tingkatan satu hingga tiga. Kampus MRSM Kuala Klawang ini telah mengalami dua kali pembesaran. Pembesaran pertama bermula pada bulan Jun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 1999. Projek pembesaran tersebut termasuklah pembinaan asarama putera, pembinaan dewan besar, penambahan satu blok akademik, pengubahsuaian asrama putera kepada bilik darjah, penambahan blok asarama puteri dan pembesaran surau. Selepas pembesaran, kampus ini mampu menempatkan seramai 600 orang pelajar pada satu-satu masa bermula tahun 2000. Pembesaran kedua bermula 24 Mei 2005 dan dijangka siap pada Ogos 2007. Pembesaran meliputi pembinaan asrama puteri, dewan selera, tiga unit rumah warden dan satu unit rumah ketua warden. Pembesaran juga melibatkan pengubahsuain asarama puteri kepada makmal sains, dewan selera kepada Pusat Sumber Pembelajaran dan makmal komputer.
|