MRSM kekal cemerlangKUALA LUMPUR: Semua 34 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengekalkan
prestasi cemerlang 100 peratus lulus dengan 1,079 atau 14.19 peratus
calonnya memperoleh A semua mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) tahun lalu. Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin, berkata 277 pelajar mendapat A1 semua mata pelajaran, meningkat 1.43 peratus berbanding 150 calon dalam SPM 2007. “Dua belas mata pelajaran mencatat peningkatan pencapaian Gred Purata Subjek (GPS), sementara beberapa MRSM mencatat 100 peratus gred A dalam mata pelajaran tertentu,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam. Bagi Bahasa Melayu, MRSM yang cemerlang dengan 100 peratus calonnya mendapat gred A ialah Beseri, Pengkalan Chepa, Langkawi, Pasir Salak dan Pendang; Matematik – Taiping, Alor Gajah, Pengkalan Chepa, Langkawi, Besut dan Kuala Lipis; Pendidikan Agama Islam – Pengkalan Chepa, Langkawi dan Kuala Lipis. Prinsip Perakaunan – Langkawi, Pengkalan Chepa, Tun Ghafar Baba, Taiping, Kuala Krai, Kuala Lipis, Batu Pahat, Kota Putra, Pasir Salak dan Kuala Kubu Bharu; Reka Cipta – Tun Ghafar Baba, Merbok, Taiping, Transkrian, Kuala Kubu Bharu dan Jeli; manakala Sejarah pula MRSM Langkawi. Seramai 7,603 calon MRSM menduduki SPM tahun lalu. |