secebis bicara

Segala puji bagi Allah s.w.t. Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya serta para sahabat sekalian,

Kolej MARA Banting merupakan sebuah institusi pendidikan MARA (IPMa) yang mengendalikan Program IB sepenuhnya. Program IB ini ditawarkan oleh lebih daripada 2,000 institusi pendidikan di seluruh dunia dengan tenaga pengajar seramai 50,000 orang dan sejumlah 500,000 orang pelajar. Walaupun KMB merupakan pusat IB yang terbesar di dunia dari segi pengambilan pelajar baru setiap tahun (anggaran 350 - 400 pelajar), prestasi KMB setiap tahun adalah antara pusat IB yang terbaik di dunia. Purata mata untuk diploma IB di KMB ialah 38 mata daripada maksimum 45 mata.

Ini adalah hasil dorongan daripada kesungguhan dan usaha yang ditunjukkan oleh pelajar KMB serta bimbingan dan dorongan guru-guru yang komited lagi penyayang. Tidak kurang pentingnya ialah ibubapa yang sentiasa menyokong usaha kolej untuk meningkatkan pencapaian akademik serta menjaga kebajikan anak-anak.

Setiap tahun pelajar KMB akan meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di universiti-universiti terkemuka perubatan dari Ireland hingga ke New Zealand dan dalam bidang kejuruteraan di UK, USA, Australia dan New Zealand (mengikut tetapan penaja). Hampir 80% pelajar di KMB adalah pelajar perubatan manakala baki 20% adalah pelajar kejuruteraan dari pelbagai bidang.

Pelajar KMB merupakan golongan pelajar yang terpilih demi memenuhi hasrat dan cita-cita negara untuk melahirkan saintis dan usahawan unggul dalam pelbagai bidang seperti kodoktoran, kejuruteraan, farmasi, pergigian, perakaunan dan lain-lain lagi. Justeru, tawaran untuk meneruskan pengajian di Kolej MARA Banting merupakan satu anugerah yang perlu dihargai oleh pelajar dan ibubapa. Seluruh warga kolej bersedia untuk membantu pelajar mencapai yang terbaik untuk diri, bangsa, agama dan negara.

Sekian, terima kasih.


Dr. Syed Anwar Aly Bin Mohamed Abu Bakar
Pengarah
Kolej MARA Banting